UMNO 'menang' sebelum pengundian - Annuar Musa

KLANG: Walaupun proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hanya bermula kurang lapan jam dari sekarang, namun UMNO sudah meraih 'kemenangan' awal menerusi kesepakatan dengan PAS menentang Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, DUN Sungai Kandis adalah permulaan kerjasama berkenaan dan diteruskan ke PRK DUN Seri Setia.
Katanya, Barisan Nasional (BN) tidak menilai jumlah undi disumbangkan ahli PAS, sebaliknya mahukan kerjasama untuk jangka panjang, termasuk menghadapi siri PRK dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
"Saya menjangkakan dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang UMNO dan PAS akan bersatu dan dalam tempoh itu juga PH akan tumbang, " katanya kepada NSTP, selepas kempen malam terakhir di Taman Nahkoda Yusof, Kampung Jawa, di sini malam tadi.
Semalan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan BN akan memberi laluan kepada PAS bertanding dalam PRK DUN Seri Setia
Kerusi itu kosong selepas wakil rakyatnya, Profesor Datuk Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia lewat kelmarin, selepas menderita barah usus.
Annuar berkata, UMNO dan PAS bersatu untuk penyatuan Islam dengan menolak perbezaan pendapat demi agama dan bangsa Melayu.
"Kita tamatkan dulu permusuhan kerana sayangkan agama, bangsa dan tanah air," katanya.
Annuar turut menjangkakan ada siri PRK selepas ini termasuk pada Oktober, November dan Disember.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kerusi yang kosong berkenaan, namun berharap PAS dan BN bersedia menghadapinya.
"Ini termasuk kerusi yang dikosongkan bagi membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
"Saya tidak mahu sebut kerusi berkenaan kerana ia sensitif tetapi yakin akan berlaku PRK berterusan," katanya.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====