Isu kaum, agama tidak laku di Sungai Kandis

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, semalam menyaksikan isu perkauman dan agama yang dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen mereka ditolak pengundi.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, menyifatkan keputusan PRK itu menunjukkan pengundi DUN Sungai Kandis bersifat analitikal dan rasional dalam isu agama serta perkauman.
Beliau berpendapat, jika UMNO dan BN kekal menggunakan isu perkauman serta agama dalam kempen pilihan raya, ia akan terus ditolak pengundi kerana mereka kini berfikiran lebih rasional dan terdedah kepada maklumat di media sosial.
"Pada saya, isu perkauman dan agama yang digunakan (BN) dalam PRK itu sangat dahsyat. Ia macam gula dalam kopi, tetapi jika berlebihan kesannya menjadi penyebab penyakit kencing manis. Ia boleh jadi senjata makan tuan.
"Kalau UMNO atau BN masih begitu, memang parti itu tidak boleh ke mana. Lagi pun, segmen yang menyokong isu perkauman dan agama ini semakin kecil di pantai barat Semenanjung.
"Orang muda dan di pantai barat lebih meluas pendidikannya. Bukan mereka tidak sayang agama, tetapi berfikiran analitikal. Kalau orang kampung mungkin percaya tetapi di bandar ia dilihat tidak logik.
"Sepatut UMNO guna isu yang strategik, bukan lagi isu perkauman atau agama," katanya kepada NSTP, semalam.
Beliau mengulas kekalahan BN dalam PRK itu yang dilaporkan berpunca memainkan isu agama dan perkauman seperti mendakwa PH terbabit dalam gerakan kristianisasi massa, mengiktiraf isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan membela golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).
Mazlan turut berkata, persefahaman di antara UMNO dan PAS dalam PRK itu juga tidak berkesan kerana ada kemungkinan pengundi PAS memprotes secara senyap.
"Walaupun ada kerjasama di antara PAS dan UMNO, nampaknya strategi mereka tidak memihak kepada UMNO," katanya.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====