'Saya tak turun PRK, nak rehat'

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak tidak akan turun berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia, bulan depan.
Ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Najib menolak untuk berkempen kerana mahu berehat.
“Balakong? Oh, tak perlu (turun berkempen). Saya nak berehat,” katanya.
Beliau ditanya sama ada akan turun berkempen di kedua-dua PRK itu susulan kritikan pemimpin UMNO yang memintanya menjauhi kempen pilihan raya selepas BN tewas di PRK DUN Sungai Kandis, awal bulan ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilaporkan berkata, UMNO perlu merehatkan Najib daripada sebarang kempen pilihan raya bagi memastikan permainan persepsi dalam kalangan pengundi tidak terus menjadi ‘racun’ kepada kebangkitan parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula dilaporkan berkata pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRK DUN Sungai Kandis, adalah manifestasi keengganan parti menyesuaikan diri dengan realiti baharu, selain menegaskan Najib yang sedang diadili, bukan UMNO.
Mengulas kritikan berkenaan, Najib berkata, kehadirannya pada PRK DUN Sungai Kandis itu adalah atas jemputan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.
“Saya dijemput oleh calon BN, Datuk Lokman. Itu bukan perancangan asal saya untuk pergi ke sana,” katanya.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====