Saman AES belum dibayar dibatalkan

PUTRAJAYA: Semua 3.1 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) membabitkan nilai RM435 juta yang belum dibayar sejak sistem itu dilaksanakan pada 2012, dibatalkan.
Selain itu, sistem berkenaan akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini, selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
"Mulai 1 September ini, operasi kamera, mengambil gambar dan mengeluarkan saman AES semuanya akan dilakukan JPJ.
"Kerajaan juga berkorban untuk tidak mengutip saman yang belum berbayar dan ini akan dilaksanakan secara one-off," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bagi saman AES yang sudah dibayar, Siew Fook berkata, jumlah bayaran tidak akan dikembalikan kerana kerajaan tidak mampu untuk membuat pembayaran balik.
Selain itu katanya, kerajaan turut bersetuju untuk membayar balik RM555 juta daripada Tabung Lembaga Tabung Angkatan Tenteta (LTAT) secara berperingkat, yang digunakan kerajaan terdahulu bagi membayar pengambilalihan dua syarikat konsesi AES.
Siew Fook berkata, kerajaan juga bersetuju pelaksanaan Sistem eCall yang sepatutnya wajib dipasang pada kereta baharu bermula Julai 2019 ditangguhkan.
INFO Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)
*September, 2012
- Mula dilaksana dan diintegrasi bersama Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) menggabungkan kamera dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA)
- Syarikat penyelenggara AES adalah Beta Tegap Sdn Bhd
- 14 unit AES dipasang iaitu tujuh di Perak, dua di Selangor dan lima di Kuala Lumpur serta Putrajaya termasuk empat unit bergerak AES
- Meliputi enam kamera kelajuan tetap, empat kamera kelajuan mudah alih dan empat kamera lampu isyarat tetap di kawasan yang mempunyai kadar kemalangan tinggi.
*Oktober, 2012
- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam tempoh 18 bulan di seluruh negara.
November, 2012
- Desakan pelbagai pihak supaya pelaksanaannya ditangguhkan kerana dilihat mendera pemandu, bukan mendidik
Disember, 2012
- Selangor arahkan dua kamera AES ditutup
- Kamera AES jadi sasaran vandalisme
- Jabatan Peguam Negara menangguhkan semua prosiding berhubung kes Sistem AES di mahkamah
Februari, 2013
- Kerajaan Malaysia memohon menjadi pencelah dalam kes semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) meruntuhkan dua tiang dan kamera AES yang dipasang di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
Julai, 2013
-Nilai kompaun AES RM20 juta
Ogos, 2013
-AES dikaji semula
September, 2013
- Kerajaan menggunakan budi bicara dalam melaksanakan AES apabila mengambilalihnya daripada syarikat swasta
- Antara perkara yang akan diambil kira ialah penetapan had laju, lokasi dan jumlah kamera serta kadar bayaran saman.
September, 2013
- Syarikat milik penuh kerajaan yang diperbadankan, AES Solutions Sdn Bhd (AES Solutions) mengambil alih operasi yang sebelum ini dikendalikan ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd
- Denda AES dikurangkan kepada RM150 berbanding RM300 sebelum ini.
- Pemasangan kamera AES dikurangkan daripada 831 kepada hanya 310
Oktober, 2013
- Usul membatalkan AES jika dipersetujui
Januari, 2016
- Selepas hampir empat tahun pelaksanaan operasi kamera AES tertangguh dan penguatkuasaan KEJARA berdepan pelbagai polemik, akhirnya ia dilaksana pada Mac
Mac, 2016
- Sistem gabungan AES dan KEJARA akan dilaksana pada Mei
April, 2016
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan kerajaan sudah meluluskan pemasangan 1,200 kamera AES di lebuh raya dan jalan Persekutuan
Jun, 2018
- Kerajaan kaji semula AES
Ogos 2018
- 3.1 juta saman AES membabitkan RM435 juta yang belum dibayar sejak pelaksanaannya pada 2012 dibatalkan.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====