Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit kekal rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) buat hari ketiga berturut-turut hari ini susulan pelabur kembali bimbang terhadap perang perdagangan antara AS dan China, yang memperkukuh minat ke atas mata wang lebih selamat, kata peniaga.
Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.0740/0780 berbanding dolar daripada 4.0640/0680 semalam.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump pada Rabu mengesahkan negara itu sedang menimbang opsyen untuk mengenakan tarif import 25 peratus ke atas AS$200 bilion nilai import barangan dari dari China, lebih tinggi daripada 10 peratus yang dikenakan sebelum ini.
"Kebimbangan kini semakin meningkat dan boleh meningkatkan lagi ketegangan perdagangan dan menurunkan permintaan ke atas mata wang ekonomi pesat membangun, termasuk ringgit," kata seorang peniaga kepada Bernama.
Beliau berkata Rizab Persekutuan AS, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan selama dua hari, menyatakan keyakinannya ke atas ekonomi negara itu yang kukuh, dengan kadar faedah yang tidak berubah, sekali gus memperkukuh sentimen ke atas dolar.
Sementara itu, ringgit kebanyakannya didagangkan tinggi berbanding mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9805/9838 daripada 2.9843/9881 pada Rabu, meningkat berbanding pound British kepada 5.3284/3352 daripada 5.3316/3376 dan tinggi berbanding euro kepada 4.7303/7358 daripada 4.7472/7539.
Mata wang tempatan bagaimanapun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6528/6574 daripada 3.6279/6325 semalam. - BERNAMA
Sumber : bharian
close
====[Close]====