Pinda Kanun Tanah Negara jika...

KUALA LUMPUR: Kanun Tanah Negara perlu dipinda jika kerajaan ingin melarang atau menyekat warga asing membeli atau memiliki tanah pegangan bebas di negara ini.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata Seksyen 433B kanun itu memperuntukkan peraturan 'orang bukan warganegara dan syarikat asing boleh memperoleh tanah dengan kelulusan kerajaan negeri'.
"Tanah boleh dijual kepada orang asing mengikut peraturan ditetapkan Majlis Tanah Negara pada 1 Mac 2014.
"Orang asing boleh memiliki tanah tertakluk kepada sekatan ditetapkan dalam Garis Panduan Perolehan Tanah dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
"Kalau kita nak buat sesuatu (sekat warga asing milik tanah), perlu pinda akta. Sekarang akta itu memberi mereka kuasa memiliki tanah pegangan bebas," katanya.
Beliau menjawab celahan Hassan Abdul Karim (PH-PKR Pasir Gudang) ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.
Hassan ingin mengetahui sama ada pemilikan tanah pegangan bebas warga asing terutama dalam projek Forest City di Johor bercanggah dengan undang-undang negara.
Pengerusi PKR Johor itu mendakwa projek berkenaan membolehkan ramai warga asing memiliki tanah secara pegangan bebas di kawasan terbabit.
Sumber : bharian
close
====[Close]====