Pusat pelacuran dalam bangunan usang

MELAKA: Bangunan lama itu kelihatan sekadar hotel terbiar dari luar, namun di dalam premis usang itu tersedia pub mini dan 10 bilik yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pelacuran.
Kewujudan premis pelacuran di sebalik bangunan usang itu dikesan dalam operasi bersepadu, awal pagi tadi.
Tapak premis yang terletak di Lorong Tun Mamat di Jalan Tun Ali, di sini, terkenal sebagai hentian bas lama dan terbiar sejak kira-kira 15 tahun lalu.
Difahamkan, sebelum ini penguatkuasa beberapa kali cuba masuk ke bangunan itu namun tidak berjaya kerana pintu jeriji besinya dikunci selain turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Bagi mengelakkan kegiatan pelacuran di situ dihidu, bangunan terbabit hanya diguna pakai dan disambung elektrik dari tingkat enam ke-10.
Ketika serbuan dilakukan, mereka yang menjalankan kegiatan di bangunan terbabit menghidu kehadiran pihak berkuasa lalu penjaga premis bertindak menghentikan operasi lif menyebabkan pasukan serbuan terpaksa menggunakan tangga.
EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong, mengetuai operasi bersepadu membabitkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), selama kira-kira 5 jam dan hanya berakhir pada jam 4 pagi.
Beliau berkata, pemeriksaan dalam premis pada mulanya hanya menemukan enam wanita warga asing dipercayai pelacur dan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Iran iaitu pelanggan.
"Curiga dengan hanya enam wanita ditemui dalam premis itu, pemeriksaan rapi dilakukan selepas penguatkuasa menemui beberapa bilik yang dijadikan tempat tinggal wanita dan dipercayai menempatkan kira-kira 30 penghuni.
"Pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan lorong tikus sebelum menemui 14 lagi individu, lima daripada mereka menyorok dalam almari serta beberapa lagi di bawah sinki serta tangga," katanya.
Beliau yang juga ADUN Kota Laksamana berkata, 24 wanita masing-masing 15 warga Thailand dan sembilan warga Vietnam ditahan.
"Turut ditahan bersama adalah enam lelaki, iaitu seorang penjaga premis dan warga tempatan selain tiga pelanggan termasuk seorang warga Iran.
"Semua mereka yang ditahan berusia 25 hingga 38 tahun itu kemudian dibawa balik ke pejabat MBMB sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani, berkata pihaknya menahan dua lelaki, iaitu pemuda berusia 22 tahun kerana didapati minum arak dan 'mak nyah' berusia 38 tahun dipercayai sedang menunggu pelanggan.
"Lelaki berperwatakan wanita itu sudah ditahan beberapa kali dan malam ini walaupun dia cuba melarikan diri namun berjaya dicekup penguat kuasa," katanya.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====