Puad saran PAS letak Khalid di PRK Seri Setia

KUALA LUMPUR: PAS disaran meletakkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, sebagai calon parti itu bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa Khalid lebih memahami isu pembelian syarikat SPLASH yang baru dilakukan Kerajaan Selangor dan boleh dijadikan bahan kempen utama.
"PRK Seri Setia boleh menjadi medan kepada pembangkang melipat gandakan usaha mendedahkan amalan pilih kasih, tidak telus dan kroni oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).


"Isunya kenapa terlalu mahal? RM2.55 bilion jauh berbeza dengan harga yang dicadangkan oleh Khalid iaitu RM250 Juta. Cukup jelas amalan 'double standard' kerajaan PH.
"Projek lain seperti MRT3 dan HSR ditangguh dan dikaji semula atas alasan kononnya mahal tetapi kenapa pembelian SPLASH yang mahal gila tidak ditangguh dan dikaji semula," katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Puad mendakwa, pendedahan akhbar The Strait Times Singapore sebelum ini, iaitu Kerajaan Selangor membeli SPLASH dengan harga RM2.55 bilion ternyata benar, walaupun Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, berdolak dalik mengenai perkara itu ketika dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====