Kes gua Thailand: Jurulatih dan tiga budak dapat kerakyatan

BANGKOK: Tiga kanak-kanak lelaki daripada pasukan bola yang diselamatkan dari gua ditenggelami air di utara Thailand, bulan lalu mendapat kerakyatan negara itu, hari ini.
Jurulatih mereka, Ekapol Chanthawong, 25, juga diterima sebagai warganegara.
Ekapol dan 12 kanak-kanak lelaki memasuki gua Tham Luang di Chiang Rai pada 23 Jun lalu, sebelum terperangkap selepas hujan lebat mengakibatkan banjir.
Usaha menyelamatkan mereka oleh pasukan antarabangsa berakhir pada 10 Julai lalu.
Ekapol dan tiga kanak-kanak terbabit tiada kerakyatan walaupun dilahirkan di Thailand sehingga permohonan untuk kerakyatan negara itu diluluskan, hari ini dengan keempat-empatnya menerima kad pengenalan.
“Mereka semua layak. Semua kanak-kanak dilahirkan di Thailand mesti ada sijil kelahiran untuk layak menjadi rakyat,” kata ketua pegawai daerah Mae Sai, Somsak Kanakam.
Menurut beliau kira-kira 20 individu lain, kebanyakannya kanak-kanak turut diluluskan kerakyatan.
Ramai golongan yang tiada kerakyatan di Thailand berasal dari kawasan yang mengalami perubahan sempadan.
Ada antara mereka daripada puak yang tinggal di kawasan berbukit yang terpencil dan kurang akses kepada maklumat mengenai prosedur kerakyatan, lapor agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Reuters
Sumber : Bharian
close
====[Close]====