Effendi pula terpalit spekulasi PRIBUMI

KUCHING: Belum pun reda kisah sembilan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal berhijrah’ ke Parti Pribumi Sarawak (PRIBUMI), timbul pula spekulasi baharu mengenai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Effendi Norwawi, menyertai parti baharu itu.
Ia berikutan kewujudan gambar bekas ahli politik berpengalaman itu bersama Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Hospital Mount Elizabeth, Singapura di akaun Facebook rasmi PRIBUMI yang dimuatnaik malam kelmarin.
Malah, gambar berkenaan turut disertai keterangan gambar ‘PRIBUMI bersama BERSATU’, yang seolah-olah memberi bayangan Effendi antara individu berpengaruh di belakang parti baharu berkenaan, selain bakal menerajui barisan kepemimpinannya.
Difahamkan, Effendi membuat kunjungan ke atas Muhyiddin atas kapasiti sebagai seorang rakan, Sabtu lalu.
Sementara itu, Effendi yang juga Pengerusi Bloomberg TV Malaysia ketika dihubungi sebuah akhbar tempatan Sarawak, menafikan spekulasi berkenaan, malah tidak mengenali langsung pemimpin parti baharu berkenaan.
Beliau turut menyatakan dirinya tidak lagi aktif, malah tiada hasrat untuk kembali ke arena politik kerana mahu menumpukan perhatian terhadap bidang perniagaan dan sektor korporat.
Effendi turut menyatakan sokongannya terhadap kepemimpinan PBB dan GPS, khususnya Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.
“Beliau (Abang Johari) melakukan banyak perkara baik kepada Sarawak dan rakyat, termasuk dalam memperkukuhkan hubungan dengan Kerajaan Pusat. Kita akan terus menyokong beliau...itu pendirian saya,” katanya.
Minggu lalu, timbul spekulasi enam Ahli Parlimen dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS, khususnya PBB akan keluar untuk menyertai PRIBUMI, namun tiada penjelasan daripada kesemua enam ahli parlimen yang dikaitkan dengan isu berkenaan, dengan hanya dua daripada mereka menafikannya.
Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, ketika dihubungi sebelum ini menafikan dakwaan mereka keluar parti, manakala empat lagi masih membisu.
Selain Wan Junaidi dan Nancy, turut dikaitkan dengan spekulasi berkenaan ialah Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang; Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah.
Tiga ADUN yang terkena tempias pula ialah ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom yang kini bersama PBB selepas meninggalkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), manakala dua lagi dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kepemimpinan Tertinggi PRIBUMI ketika ditanya NSTP sama ada mereka mampu mengemukakan bukti atas setiap dakwaan membabitkan isu `lompat parti’ sembilan wakil rakyat berkenaan, jurucakap itu berkata menjadi hak masing-masing untuk percaya atau tidak kesahihannya.
“Pada kita (PRIBUMI) perkara itu adalah sulit daripada kedua-dua pihak, ketua parti dan pihak individu (Ahli Parlimen dan ADUN). Setakat ini, perbincangan antara kedua-dua pihak berlaku secara tenang dan penuh kerjasama demi mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====