Vokalis kumpulan Panji meninggal dunia

KUANTAN: Bekas vokalis kumpulan Panji, Mohd Rafi Ibrahim, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, awal pagi tadi.
Mohd Rafi yang lebih dikenali sebagai Opie, 48, disahkan meninggal dunia pada jam 4.10 pagi tadi selepas menderita pelbagai komplikasi penyakit termasuk hepatitis C.
Perkara itu disahkan isteri arwah Suhailiza Ahmad, 42, yang memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Jerangau, Dungun, tengah hari ini.
Opie sebelum ini dikejarkan ke HTAA 4 Ogos lalu selepas mengadu sesak nafas di rumahnya di Indera Sempurna, di sini, sebelum dirawat di hospital berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan Opie yang mencari rezeki sebagai tukang paip sudah tiga bulan tidak bekerja akibat menderita pelbagai komplikasi penyakit seperti kencing manis, bengkak hati dan jangkitan kuman dalam salur makanan.
Opie pernah popular dengan album Senang pada 1993 hingga tercalon untuk anugerah Artis Baru Terbaik (Berkumpulan) pada Anugerah Industri Muzik 1993.
Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kasih Yang Tidak Pasti’ meninggalkan seorang balu dan enam cahaya mata.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====