Tiga sepupu maut tercampak dari pikap

KAMPAR: Tiga lelaki maut selepas tercampak dari kenderaan dinaiki dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap dan sebuah lori yang membawa muatan surat khabar berhampiran Plaza Tol Simpang Pulai Lebuhraya Utara Sealatan arah selatan, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4.40 pagi itu, ketiga-tiga mangsa yang maut menaiki pikap jenis Toyota Hilux dikenal pasti sebagai pemandu, Nishan Singh Dillon, 30, dan dua penumpang Rajminder Singh, 26, serta Gurdi Singh, 28.
Ketiga-tiga mangsa mempunyai pertalian saudara sebagai sepupu.
Pemandu lori yang membawa muatan surat khabar berusia 40 tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu parah.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Song, berkata siasatan awal mendapati pikap dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kampar, manakala lori berkenaan menghala ke Tapah.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pikap berkenaan merempuh bahagian kanan lori mengakibatkan kenderaan tu merempuh penghadang kiri lebuh raya.
"Akibat rempuhan itu, lori terbabit terbalik manakala pikap berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas.
"Berikutan itu, ketiga-tiga mangsa yang menaiki pikap berkenaan tercampak keluar dari kenderaan dan semua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kong Soon berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat, manakala pemandu lori dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.
"Pemandu lori masih dirawat di Wad Kecemasan HRPB kerana mengalami pendarahan dan keadaannya agak parah," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kenderaan itu akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) Gopeng untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====