'Saya tak ambil tafsiran kamus'

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan menepati janji manifestonya berhubung pemberian royalti minyak kepada negeri pengeluar petroleum.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, berkata takrifan pembayaran royalti yang dinyatakan dalam manifesto berkenaan merujuk kepada konteks seperti diperuntukkan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
"Saya ingin ulang definisi yang terkandung dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 iaitu tiada istilah royalti, yang ada hanya pembayaran tunai," katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi pihak kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Isu berkenaan menyaksikan Mohamed Azmin diasak bertalu-talu oleh ahli Dewan terutama pembangkang hingga mendorong Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, menutup pembesar suara bagi mengawal keadaan.
Bagaimanapun, Azmin bertegas mempertahankan pendirian Akta Pembangunan Petroleum 1974 tidak menyebut pembayaran royalti, sebaliknya pembayaran tunai yang difahami sebagai royalti.
Keadaan itu membuatkan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam) mendakwa Mohamed Azmin mengelirukan Dewan Rakyat dan menyatakan maksud royalti mengikut kamus adalah berbeza.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin menjawab: "Saya tidak kelirukan Dewan. Saya tidak mengambil tafsiran daripada kamus, apa yang saya nak tegaskan ialah definisi (royalti)," katanya sebelum beberapa Ahli Parlimen bangun serentak, menyebabkan suasana menjadi kecoh.
Mohamad Ariff kemudian meminta Mohamed Azmin meneruskan penggulungan dan mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak mencelah tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, beberapa ahli pembangkang tetap bangun untuk mencelah termasuk Tan Sri Noh Omar (BN-UMNO Tanjong Karang) dan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-UMNO Lenggong).
Noh cuba menarik perhatian Mohamed Azmin dengan berkata: "YB menteri bacalah manifesto. Yang YB baca tu akta."
Suasana bising itu membuatkan Mohamed Azmin meninggikan suara dan meminta mereka duduk dan mendengar penjelasannya.
"Nantilah dulu. Saya akan jawab...duduk!! Ada dua perkara, pertama akta tidak sebut royalti, akta sebut cash payment (bayaran tunai)," katanya.
Keadaan reda selepas Mohamad Ariff meminta Ahli Parlimen duduk dan tidak dibenarkan mencelah tanpa kebenaran.

Sumber : Bharian
close
====[Close]====