'Pemandu dipecat, bukan tak mahu kerja'

PUTRAJAYA: Kesatuan Pemandu Bas Nadiputra menafikan kenyataan pihak pengurusan syarikat yang mendakwa perkhidmatan bas awam itu tergendala hari ini berpunca daripada tindakan pemandu yang tidak mahu bekerja.
Sebaliknya, Presidennya, Noorhisham Nuruddin, berkata 23 pemandu bas yang sepatutnya bertugas hari ini diberhentikan kerja serta-merta tanpa diberikan sebarang notis atau makluman awal.
Katanya, semua pemandu bas terbabit dipecat selepas terbabit dalam melaporkan isu penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
“Tiada sebarang notis atau surat tunjuk sebab serta peluang untuk bela diri, sebaliknya surat pemberhentian kepada pemandu bas diserahkan di pintu masuk ketika mereka datang bekerja sejak jam 6 pagi tadi.
"Susulan itu, pihak kami sudah mengemukakan laporan pemberhentian tidak sah kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan jam 11 pagi dan sedang menunggu tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT) yang menguruskan Nadiputra dalam kenyataan di Facebook memaklumkan perkhidmatan bas awam itu tidak dapat beroperasi seperti biasa hari ini, berikutan masalah pemandu yang tidak mahu bekerja.
Melalui kenyataan sama, PAPTT berkata pihaknya sedang berunding dengan pemandu terbabit untuk memulihkan perkhidmatan bas seperti biasa.
Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga Manusia, Datuk Mahfuz Omar, ketika dihubungi memaklumkan akan memanggil pihak majikan petang ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan pemberhentian tidak mengikut prosedur ke atas pemandu bas berkenaan.
“Saya di Parlimen sekarang...saya sudah minta pemandu menyerahkan semua laporan dan surat pemberhentian kepada setiausaha saya untuk tindakan lanjut," katanya.
Semalam, kakitangan bas awam Nadiputra menyerahkan laporan kepada SPRM mengenai isu penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengambilalihan bas awam itu yang dikatakan tanpa melalui tender terbuka kepada syarikat swasta.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====