Najib harus kemuka bukti - Dr M

SERDANG: Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Najib Razak mengemukakan bukti bahawa wang bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion tidak hilang ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri berkata, jika wang itu tidak 'dirompak' kerajaan terdahulu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri harus kemukakan bukti bagi menyangkal dakwaan itu.
"Sekiranya wang itu tidak hilang, patut tanya (Najib), di mana wang itu pergi?," katanya kepada pemberita selepas kunjungan ke pameran lukisan - Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, hari ini.
Menjawab soalan tuduhan pihak tertentu bahawa wang bayaran balik GST itu digunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri menegaskan, walaupun kerajaan sedang menghadapi kekangan kewangan, namun situasi itu tidak memaksa pihaknya menggunakan wang itu.
Sebaliknya, Dr Mahathir menyalahkan kepemimpinan kerajaan terdahulu banyak menggunakan wang untuk membayar dan menyelesaikan hutang.
Dr Mahathir turut menyalahkan sikap buruk pemimpin dalam kalangan kerajaan terdahulu yang secara semberono menyeleweng wang kerajaan.
"Walaupun kita tidak mempunyai wang, namun kita tidaklah bertindak mencuri wang kerajaan seperti mana yang Najib lakukan.
"Orang ramai harapkan kita untuk beri wang kepada mereka disebabkan sikap yang dibentuk oleh Najib sendiri.
"Najib bagi wang kepada orang ramai secara bebas dan cara itu menyebabkan masyarakat harap kita buat perkara sama seperti Najib," katanya.
Isu sejumlah wang GST RM18 bilion hilang didedahkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat, yang mendakwa kerajaan BN ‘merompak’ bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.
Guan Eng sekali lagi membangkitkannya di Dewan Rakyat dan dilaporkan berkata, audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati RM18 bilion ‘hilang’ dari tabung bayaran balik GST.
Rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan daripada jumlah tunggakan itu, sebanyak RM9.2 bilion atau 47 peratus adalah bagi tahun ini; RM6.8 bilion (35 peratus) 2017; RM2.8 bilion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (tiga peratus) pada 2015.
Baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, sekali gus memperlihatkan kekurangan kira-kira RM18 bilion.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====