'Mula-mula seronok lepas itu menangis'

PENAMPANG: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang melakukan aksi mengangkat tayar depan motosikal atau 'Wheelie' menangis selepas diberitahu hukuman yang bakal dijalaninya ketika ditahan dalam Ops Khas Samseng Jalanan di Jalan Putatan, awal pagi tadi.
Operasi bermula 1 pagi dan berakhir kira-kira jam 4 pagi itu turut menahan empat lagi pemuda berusia 17, 18, 21 dan 24 tahun kerana turut melakukan aksi 'Wheelie'.
Difahamkan, pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di daerah ini itu, dikesan beberapa kali melakukan aksi 'Wheelie' serta melanggar lampu isyarat tanpa menyedari perbuatan itu bersama rakannya diperhatikan polis trafik.
Menyedari kehadiran polis, dia bersama rakannya berhenti di hadapan sebuah kedai sebelum ditahan manakala rakannya yang cuba melarikan diri tetapi gagal.


Tiga lagi lelaki yang turut melakukan aksi sama cuba mengaburi anggota polis dengan menjamu selera di sebuah restoran di Putatan namun berjaya ditahan.
Ketika semua mereka dan motosikal masing-masing di bawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang untuk soal siasat, tiba-tiba pelajar terbabit menangis kerana bimbang hukuman yang bakal dikenakan atas kesalahan yang dilakukannya.
Difahamkan juga, pelajar terbabit pernah disaman sebanyak dua kali atas kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen sebelum ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sabah, Deputi Superintendan Parum Niot berkata, ketika anggota polis trafik menjalankan risikan di Jalan Putatan, mengesan sekumpulan lelaki melakukan aksi berbahaya iaitu 'Wheelie'.
"Susulan itu, kita berjaya menahan lima daripada mereka termasuk seorang pelajar lelaki.
"Pemeriksaan motosikal mereka didapati banyak yang diubah suai antara ekzos, enjin dan tayar," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di Pejabat Trafik IPD Penampang.
Parum berkata, operasi itu turut dijalankan di dua lokasi berlainan iaitu Jalan Kepayan dan Sulaman.
"Pada mulanya, kumpulan ini ramai di Jalan Kepayan dan Sulaman namun mereka dengan sendirinya lari dari lokasi selepas polis menahan lima rakan mereka di Putatan.
"Dalam operasi itu juga, polis mengeluarkan 81 keping saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.
Tambah beliau, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
Terdahulu, operasi khas ini membabitkan seramai tujuh pegawai dan 38 anggota dari polis trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, IPD Kota Kinabalu dan Penampang.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====