Langkah kerajaan BN menguntungkan negara, rakyat - Najib

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) mengadakan kerjasama antara Proton Holdings Bhd (Proton) dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) dari China yang sebelum ini difitnah teruk akhirnya dibuktikan Pakatan Harapan (PH) sebagai langkah menguntungkan negara dan rakyat.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Tun Dr Mahathir Mohamad menuduhnya menjual maruah negara selain mendakwa negara bakal dijual apabila Proton yang sudah dimiliki syarikat swasta menjual 49 peratus sahamnya kepada Geely pada Mei tahun lalu.
Beliau berkata, Perdana Menteri menerusi tulisan dan ucapannya mengakui menangis teresak-esak mengenangkan saham Proton dijual kepada Geely.
“Walhal, hakikatnya ketika Tun Mahathir sebagai penasihat dan pengerusi Proton, syarikat itu kehilangan wang pada jumlah yang besar setiap tahun, jualan menjunam, eksport sangat rendah dan ketinggalan dari segi teknologi.
“Proton berada dalam keadaan kritikal pada masa itu sehingga pembekal tidak dibayar. Bukan sahaja pembekal Proton dan 60,000 pekerjaan berdepan risiko ketika itu, syarikat induknya, DRB Hicom turut menerima kesan,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.
Status Najib itu turut memuatkan gambar laporan akhbar bertajuk ‘Tun Mahathir sedih Proton dijual’ dan gambar Dr Mahathir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dengan Presiden Kumpulan Zhejiang Geely Holding An Conghui ketika melawat Ibu Pejabat Geely, Sabtu lalu.
Usaha sama itu termasuk pembukaan kemudahan pengeluaran di China yang akan memasang kenderaan, selain pembangunan rangkaian peniaga untuk memasarkan barisan kereta Proton di China.
Najib menjelaskan situasi melanda Proton menyebabkan penstrukturan perlu dilakukan.
Katanya, dalam usaha itu kerajaan BN memberikan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton dan syarikat itu kemudiannya membawa masuk Geely sebagai rakan perkongsian.
“Dalam pemeteraian perjanjian itu, Proton dan Geely bersetuju untuk menjadikan Proton sebagai pusat eksport ke Asia Tenggara dan juga China.
“Setahun selepas itu, Proton dan Geely menunaikan janji mereka dan membuat pengumuman untuk menjual kereta Proton.
“Keadaan itu menggembirakan saya dan juga Tun Mahathir yang menyaksikannya jelas gembira biarpun hanya setahun sebelum ini, Tun mengkritik saya melalui tulisannya yang antara lain menyatakan ‘tidak akan lagi bangga terhadap jenama Proton selepas Geely dijadikan rakan kongsi’,” katanya.
Justeru Najib berkata, jelas sekali disebalik segala fitnah dan kritikan dibuat Dr Mahathir sebelum ini, semalam menyaksikan satu pengumuman yang membuktikan keputusan dibuat setahun lalu adalah satu langkah yang terbaik untuk semua, malah sebanyak 60,000 pekerjaan diselamatkan dan Proton berada pada kedudukan lebih kukuh untuk pertumbuhan.
“Jika keputusan itu tidak dibuat tahun lalu, sudah tentu tiada apa yang boleh disaksikan Tun Mahathir di Geely di China semalam,” katanya.
Najib turut berkata sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), isu Proton dengan projek Forest City dan Melaka Gateway antara isu utama sering dimainkan Dr Mahathir dan pemimpin PH untuk menuduh beliau menjual negara.
Sebaliknya kini, katanya kerajaan PH pula amat bangga dengan kerjasama Proton-Geely.
“Malah mereka juga sudah umumkan di Parlimen bahawa kerajaan PH tidak mempunyai halangan untuk benarkan Forest City menjual hartanah secara hak milik kekal kepada warga asing manakala Ketua Menteri Melaka pula mengumumkan bahawa projek Melaka Gateway tiba-tiba menjadi amat penting untuk pembangunan negeri dan bakal membawa Melaka kembali ke zaman kegemilangan kesultanan Melaka.
“Walaupun saya dan BN difitnah teruk pada masa itu, saya gembira bahawa langkah kerajaan BN dulu sudah dibuktikan sebagai langkah yang menguntungkan negara dan rakyat,” katanya.
Dr Mahathir mengadakan lawatan rasmi selama lima hari ke China berakhir esok antara lain bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan 44 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====