Guan Eng sedih, marah bila jejak Equanimity

JURU: “Saya sedih dan marah sebaik menjejakkan kaki ke atas kapal persiaran mewah Equanimity semalam,” demikian kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika pertama kali menaiki kapal mewah itu bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam lawatan mereka di Pelabuhan Klang, semalam.
Beliau berkata, dia sedih kerana memikirkan kapal persiaran itu dan barang mewah lain yang terdapat di dalamnya dibeli dengan wang rakyat dan digunakan bagi tujuan peribadi.
“Segala barangan yang diimpikan boleh dilihat di dalam kapal itu, malah barang yang tidak pernah termimpi juga dapat ditemui di dalam kapal mewah berkenaan.
“Namun memikirkan semua itu dibeli dengan wang rakyat, saya sedih dan sakit hati kerana banyak perkara boleh dilakukan bagi kepentingan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) Berhad ke-16 di Juru Auto City, di sini, tadi.
Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, itu disita di Bali, Indonesia, Februari lalu.
Namun, pada April lalu, mahkamah Indonesia memutuskan kapal berkenaan tidak harus dirampas dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya.
Bagaimanapun, kerajaan Indonesia merampasnya sekali lagi pada Julai lalu dan kapal itu kini disita di Pelabuhan Klang selepas tiba dari Indonesia petang Selasa lalu.
Dalaman kapal itu dikatakan dihiasi dengan daun emas dan mamar, spa dan sauna, kolam renang 20 meter di dek, panggung wayang, lif dan pendaratan helikopter.
Sementara itu, Guan Eng berkata pihaknya kini dalam proses mengkaji bagi memberi pengecualian cukai kepada persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang aktif melakukan program amal.
“Ia akan dikaji dan pengecualian boleh dibuat sehingga tujuh peratus dan akan diumumkan pada belanjawan 2019 nanti,” katanya.
Pada program sambutan berkenaan, seramai 2,500 penerima terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan menerima barang keperluan harian daripada penyumbang melalui One Hope Charity.
Pengerusi One Hope Charity, Chua Sui Hau, berkata pada majlis itu juga sejumlah 7,000 set makanan percuma diberikan kepada orang ramai yang hadir.
Chua berkata, pada 2017, dana yang dikeluarkan One Hope Charity berjumlah melebihi RM4.22 juta dan pada hari ini sahaja sejumlah RM1juta diperuntukkan.
“Selain itu, hari ini pihak kami juga menyediakan 300 set barangan keperluan harian bernilai RM90,000 kepada kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi menghargai jasa mereka dalam melaksanakan tugas harian,” katanya.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====