Dikhuatiri disalah guna buat bom

KUALA LUMPUR: Sebuah Alat Radiografi Perindustrian (RDD) mengandungi isotop radioaktif iaitu Iridium 192 yang dibimbangi disalah guna, termasuk oleh pengganas bagi membuat bom, dilaporkan hilang.
Pencarian peralatan yang berupaya aktif selama 73 hari serta memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu, giat dilaksanakan oleh polis serta Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
Kebimbangan utama kedua-dua pihak ialah jika ia jatuh ke tangan pihak tidak sepatutnya seperti pengganas atau orang awam yang mungkin melihatnya sebagai besi terpakai bagi dijual mendapatkan wang.
Peralatan yang dianggar bernilai RM75,000 di pasaran dan mengandungi Iridium 192 itu adalah isotop radioaktif komersial paling kerap dicuri serta berpotensi disalah guna untuk membuat bom.
Diletak ruang belakang 4WD
Difahamkan, RDD itu hilang sejak 10 Ogos lalu selepas dipindahkan pada jam 2 pagi dari Seremban ke Shah Alam oleh dua kakitangan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan ujian, senggatan (calibration) dan pemeriksaan membabitkan industri gas dan minyak, termasuk kilang jana kuasa, pembuatan, automotif serta pengangkutan.
Sumber berkata, kehilangan peralatan yang diletakkan di ruang belakang kenderaan pacuan empat roda (4WD) itu disedari kakitangan berkenaan selepas tiba di Shah Alam sejam kemudian.
Difahamkan, pekerja berkenaan memaklumkan kepada pegawai penyiasat bahawa mereka menyedari penutup ruang kargo 4WD dinaiki terbuka dan percaya alat berkenaan terjatuh dalam perjalanan.
Kakitangan terbabit memberitahu pegawai penyiasat, mereka cuba mencari semula peralatan itu mengikut laluan perjalanan digunakan dari Seremban ke Shah Alam, namun tidak berhasil.
Tiada kesan diumpil
Difahamkan, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mengendalikan kes terbabit mendapati tiada kesan menunjukkan ruang membawa barang itu diumpil.
Penyiasat turut mendapati sistem kunci ruang terbabit berada dalam keadaan baik dan hampir mustahil untuk ia terbuka sendiri.
JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam tidak mempercayai keterangan mereka dan menahan kedua-duanya, dengan mengambil kira risiko keselamatan yang timbul berikutan kehilangan kawalan ke atas peralatan terbabit.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu dibebaskan Jumaat lalu, selepas polis gagal mengesan sebarang kaitan kejadian dengan mereka, termasuk kemungkinan terbabit dalam kegiatan keganasan atau militan.
Kesimpulan itu dibuat susulan soal siasat pasukan penyiasat dan pemeriksaan forensik terhadap telefon bimbit milik kedua-duanya.
NSTP turut difahamkan, kebimbangan utama pihak AELB dalam kehilangan misteri itu ialah ia mengandungi bahan radioaktif yang boleh menyebabkan ancaman keselamatan serius.
Mereka khuatir jika ada mana-mana pihak meleraikan komponen RDD untuk dijadikan besi buruk yang boleh menyebabkan pendedahan secara meluas terhadap bahan radioaktif yang boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian.
Sumber AELB berkata, belum ada perkembangan baharu berhubung kehilangan itu setakat semalam.
“Kami merayu sesiapa yang memiliki bahan itu supaya menghubungi polis atau AELB segera dan jangan cuba membukanya.
“Kesannya amat buruk jika ia peralatan berkenaan jatuh ke tangan pihak tidak sepatutnya,” katanya.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====