'Demi Anwar, saya rela'

KUALA LUMPUR: William Leong Jee Keen bersedia menjadi 'kambing hitam' untuk mengosongkan kerusi Parlimen Selayang disandangnya bagi memberi laluan diisi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau menafikan menerima arahan atau diminta berbuat demikian oleh mana-mana pihak atau pemimpin PKR, termasuk Anwar.
Malah, Jee Keen menganggap dakwaan kononnya kerusi Parlimen Selayang akan dikosongkan sebagai pelengkap pelan PH mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri, sekadar khabar angin.
"Jika diminta, saya sedia memberi laluan. Saya sanggup, malah percaya jika diminta, seramai 51 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sanggup berbuat demikian.
"Ketika ini, belum ada arahan untuk saya mengosongkan kerusi Parlimen Selayang," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, ada laporan menyebut Anwar dikatakan akan bertanding pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh beberapa bulan lagi bagi melancarkan pelan PH melantiknya sebagai Perdana Menteri kelapan.
Pengampunan diraja yang diterima bekas Timbalan Perdana Menteri itu membolehkannya kembali aktif berpolitik tanpa syarat.
Semalam, Anwar diisytihar menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, sekali gus membuka ruang untuk PH meneruskan pelan melantiknya sebagai Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Jee Keen tidak menganggap tindakan mengosongkan kerusi disandang itu sebagai mengkhianati mereka yang mengundinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
"Ini bukan tidak menghormati pengundi tetapi kita bertanding bawah logo sama, iaitu PKR.
"Ini bukan permainan. Anwar menjadi mangsa politik, maka kalau diminta (kosongkan kerusi), mengapa kita tidak berikan peluang kepadanya," katanya.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====