17 pengawal di JPM direman lima hari

PUTRAJAYA: Seramai 17 pengawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjumlah RM3.5 juta.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nabilah Abd Rashid di Mahkamah Majistret, di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan, mereka ditahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Terdahulu, semua mereka tiba di perkarangan Kompleks Istana Kehakiman kira-kira jam 9.15 pagi dengan bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber SPRM berkata, semua mereka ditahan antara 2.45 hingga 3.15 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Mereka yang ditahan termasuk seorang pegawai keselamatan Gred KP52 berusia 51 tahun dan 16 pengawal keselamatan masing-masing Gred KP11 hingga 38 berusia antara 31 hingga 51 tahun.
Sumber berkata, kesemua mereka bertugas di Kompleks B, JPM.
SPRM turut merampas wang tunai RM840,700 dan sembilan buah motosikal bernilai RM90,000 daripada semua suspek.
Sumber : Bharian
close
====[Close]====