Ustaz Zawawi mampu teruskan legasi Mat Shuhaimi

SHAH ALAM: PKR yakin kemampuan calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, meneruskan legasi terdahulu menerusi pelaksanaan pelbagai program berkebajikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, untuk memenangi setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) sememangnya bukan perkara mudah, namun kepemimpinan yakin Mohd Zawawi mampu berbuat demikian.
"Kita tahu bahawa penyandang kerusi DUN ini iaitu Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei adalah figura yang disegani dan dihormati rakyat setempat.

"Kini, legasi itu akan diteruskan oleh Ustaz Zawawi yang turut dikenali sebagai aktivis kemasyarakatan sejak sekian lama dan mempunyai rekod bersih.
"Kita mempercayai kemampuannya untuk memenangi PRK ini dan meminta supaya pengundi memberi sokongan bagi memastikan dasar program berkebajikan dilaksanakan secara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Dialog Bersama Pemimpin dan Belia: Keseronokan Membuat Kebaikan di Bilik Gerakan Utama PKR di Jalan Bukit Kemuning di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin; Penaung Persatuan Usahawan Digital Selangor (DIGEST), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin; Pengasas Kindness Malaysia, Muhammad Kamarulazizi dan Mohd Zawawi.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, berkata Mohd Zawawi dianggap calon terbaik dan dipilih kerana berupaya menjadi jurucakap terbaik bagi rakyat Sungai Kandis.
Mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahu mendekati rakyat terutama golongan belia dengan aktiviti kemasyarakatan yang menerapkan nilai kasih sayang.
PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pertembungan tiga penjuru menanti pada PRK Sungai Kandis antara calon PKR, Mohd Zawawi, Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili BN manakala K Murthy bertanding sebagai calon Bebas.

Sumber : bharian
close
====[Close]====