SPR keluar 59 kertas undi pos PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan sebanyak 59 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, berkata pengeluaran undi pos itu dilakukan oleh Petugas Pilihan Raya di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Katanya, kategori undi pos itu membabitkan 13 pemilih tidak hadir (PTH) luar negara iaitu penjawat awam dan keluarga yang kini berada di Indonesia, United Kingdom, India, Sweden, Australia dan Korea Selatan.

"Bagi kategori permohonan borang 1A iaitu petugas pilihan raya dan petugas media, sebanyak 44 kertas undi dikeluarkan manakala kategori permohonan borang 1B iaitu pengundi yang berada di luar negara ialah sebanyak dua kertas undi.
"Bagi PRK DUN Sungai Kandis, tiada sebarang kertas undi pos bagi kategori borang 1C iaitu membabitkan anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan kerana tiada sebarang permohonan," katanya dalam satu kenyataan.
Othman berkata, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon PKR, namun wakil calon Barisan Nasional (BN) dan bebas tidak hadir.
Beliau berkata, proses pengeluaran itu turut disaksikan oleh pemerhati pilihan raya yang dilantik iaitu Kelab Pemikir Politik Nasional, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) serta ENGAGE.
"Kertas undi berkenaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk penghantaran segera kepada pengundi-pengundi terbabit mulai malam ini," katanya.
Justeru, SPR mengingatkan pengundi pos terbabit supaya menanda kertas undi yang diterima dengan betul dan segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus PRK DUN N49 Sungai Kandis sebelum jam 5.30 petang pada hari mengundi iaitu pada 4 Ogos depan.

Sumber : bharian
close
====[Close]====