'Sungai' ini milik siapa?

SHAH ALAM: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos ini bagaikan perebutan sungai yang menjadi nadi penting kehidupan masyarakat di negara ini untuk membekalkan air bersih.
Pada zaman silam, sungai adalah nadi utama dan pengangkutan penting kepada masyarakat di Selangor.
Jadi, tidak hairanlah banyak Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen menggunakan pangkal nama `sungai'.

PRK DUN Sungai Kandis umpama perebutan sungai, sama ada kekal di tangan PKR atau dirampas BN, manakala calon Bebas dijangka sukar merampasnya.
Daripada tujuh kerusi DUN menggunakan pangkal nama 'sungai' di Selangor, empat dikuasai Pakatan Harapan (PH) yang bertanding atas tiket PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu, manakala Barisan Nasional (BN) memenangi tiga kerusi.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari juga mewakili kerusi bermula pangkal 'sungai', iaitu DUN Sungai Tua.
Selain DUN Sungai Tua dan Sungai Kandis yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, kerana kanser limfoma, 2 Julai lalu, kerusi lain ialah DUN Sungai Pelek diwakili Liew Tian Khiew, manakala Sungai Ramal diwakili Mazwan Johar.
Kerusi disandang BN pula adalah DUN Sungai Burong diwakili Mohd Shamsuddin Lias; Sungai Panjang (Mohd Imran Tamrin) dan Rizam Ismail (Sungai Air Tawar).
Dua kerusi Parlimen di Selangor menggunakan pangkal nama 'sungai' dikuasai PH iaitu R Sivarasa di Parlimen Sungai Buloh dan Muslimin Yahaya di Parlimen Sungai Besar.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon BN Datuk Lokman Noor Adam, 45; calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48; dan calon Bebas yang juga pesara kerajaan berusia 60 tahun, K Murthy.
Dalam penggal lalu, untuk rekod PRK di Selangor juga berakhir dengan nama tempat yang bermula dengan 'sungai' iaitu PRK Parlimen Sungai Besar yang diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kuala Kangsar di Perak.
PRK Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khairil Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebayau, Sarawak pada 5 Mei 2016.
Kedua-dua kerusi itu kemudian dimenangi BN dengan majoriti besar masing-masing menerusi Budiman Mohd Zohdi di Parlimen Sungai Besar dan Datin Mastura Mohd Yazid di Parlimen Kuala Kangsar.
Untuk rekod, dalam penggal lalu PRK bermula di kawasan yang pangkal nama 'kuala' iaitu DUN Kuala Besut yang dimenangi BN menerusi Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, manakala PRK menggunakan nama `sungai' adalah DUN Sungai Limau di Kedah yang dimenangi calon PAS, Mohd Azam Samad.
Siapa pemilik sungai dikenali DUN Sungai Kandis hanya akan diketahui pada 4 Ogos ini, sama ada kekal di tangan PKR atau dirampas BN.

Sumber : bharian
close
====[Close]====